Isnin, 13 Januari 2014

Polis Kelantan perketat kawalan di sempadan ketika banjir



TANAH MERAH: Polis Kelantan akan mempertingkat kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 145 kilometer dari Tumpat ke Batu Melintang, Jeli ketika banjir melanda bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman turut memberi jaminan polis akan menjaga keselamatan harta benda yang ditinggal mangsa banjir di rumah ketika mereka berada di pusat pemindahan sementara.


"Sejak banjir dua, tiga tahun lepas, walaupun tiada laporan polis dibuat mengenai kecurian rumah yang ditinggal akibat banjir... namun saya sentiasa arahkan ketua balai untuk melakukan risikan," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Kampung Renat, Bukit Bunga hari ini. 


Terdahulu, beliau meninjau kawasan sempadan di Sungai Golok, Jenob selain menyerahkan sumbangan kepada 47 mangsa banjir daripada sembilan keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir Madrasah Kampung Renat. 

Jalaluddin berkata pihaknya akan terus melakukan persediaan menghadapi banjir dari semasa ke semasa sehingga musim tengkujuh berakhir, dijangka Mac ini. 

Dalam pada itu, keadaan banjir di Kelantan dilapor bertambah baik dengan jumlah mangsa di tiga jajahan susut kepada 324 orang petang ini berbanding lebih 1,000 pada sebelah pagi. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata keadaan itu berikutan cuaca yang semakin baik sejak pagi. 

Beliau berkata sejumlah 273 mangsa banjir di Tanah Merah ditempatkan di empat pusat pemindahan. 

Paras air Sungai Golok di Jenob, yang kini surut di bawah paras amaran berbanding bahaya pada sebelah pagi, menyebabkan sebahagian besar mangsa banjir di Jeli pulang ke rumah masing-masing sejak tengah hari. 

Sehingga 5 petang, sejumlah 14 mangsa masih ditempatkan di sebuah pusat pemindahan. 

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang yang melebihi paras bahaya menyebabkan 37 mangsa di Pasir Mas ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Cuaca di Kelantan pada sebelah petang mendung dengan sesekali hujan renyai. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...