Rabu, 26 Mac 2014

Mayat tanpa kepala di pantai

Gambar hiasan
ROMPIN – Dua sahabat yang keduanya bekerja sebagai nelayan yang sedang asyik mengutip botol di Pantai Batu 6, Janglau, di sini sekitar jam 8 pagi tadi terkejut dengan penemuan satu mayat tanpa kepala terdampar di pantai.
Penduduk Sungai Meranti, Mohd Sharif Kupa, 47, berkata, beliau terkejut kerana tidak pernah lagi menemui mayat dalam keadaan sedemikian.
“Kami berdua memang hampir setiap pagi akan ke pantai untuk mencari botol yang dihanyutkan ombak. Tidak sangka pula pagi ini kami boleh terjumpa mayat yang tiada kepala.
“Ketika itu kami dalam perjalanan dengan menaiki motosikal untuk mengambil satu tong yang terdampar tidak jauh dengan lokasi mayat. Dari jauh sudah nampak dan memang syak itu adalah mayat, bila kami hampiri memang sah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, beliau bersama dengan rakannya itu, Dolah Mat, 48, tidak membuang masa dan terus menghubungi pihak polis untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya yang dihubungi mengesahkan kejadian.
“Mayat tanpa kepala berkenaan masih berpakaian baju t-shirt dan seluar pendek serta umurnya kemungkinan dalam lingkungan 30-an. Terdapat satu lubang di bahagian dada.
“Mayat tersebut sudah mula reput dan bangsanya masih belum dapat disahkan. Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...