Isnin, 14 April 2014

Ahli perniagaan disimbah asid

Gambar hiasan
PORT DICKSON – Seorang ahli perniagaan yang baru sahaja selesai bermain golf di sebuah kelab golf di sini, melecur teruk akibat disimbah asid dalam kejadian kira-kira jam 7.05, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Abd Wahab Harun berkata, mangsa, Zulkafli Abdul Halim, 42, melecur di muka dan leher serta badan selepas disimbah sejenis cecair dipercayai asid di tempat letak kereta di sebuah kelab golf.

“Kejadian disedari oleh rakan mangsa yang ketika itu juga hendak pulang ke rumah selepas bermain golf bersamanya apabila mangsa menjerit kesakitan lalu bergegas menghampirinya.

“Mangsa mengadu dia telah disimbah asid dan keadaan bajunya terkoyak seperti terbakar dan kulit badan serta mukanya melecur sebelum dia dikejarkan ke Hospital Port Dickson oleh rakannya," katanya semalam.

Abd Wahab berkata, pengawal keselamatan kelab golf berkenaan mendakwa ada melihat sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru gelap dinaiki dua lelaki India keluar laju dari kawasan parkir.

“Siasatan awal polis mendapati, kenderaan yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu. Kita masih siasat motif kejadian dan polis kini sedang giat memburu suspek.  

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan benda-benda bahaya. Siasatan polis juga dijalankan dari segala sudut bagi mengesan suspek dan menyelesaikan kes,” katanya.

Abd Wahab menambah, mangsa kini di rawat di Hospital Seremban.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...