Jumaat, 18 April 2014

Tiga Syarikat Terlibat Dalam Kes Penipuan UMRAH


KUALA LUMPUR 17 April - Polis mengenal pasti tiga syarikat terlibat dalam kes penipuan umrah melibatkan kerugian kira-kira RM300,000 termasuk satu sindiket didalangi oleh seorang lelaki bersama tiga isterinya.

Antara modus operandi syarikat berkenaan ialah menawarkan pakej umrah bernilai antara RM1,400 hingga RM13,200 kepada bakal jemaah namun membatalkan rombongan tersebut setelah menerima pembayaran penuh daripada mangsa dengan alasan gagal mendapatkan visa dari kerajaan Arab Saudi.

Syarikat yang dikesan aktif menipu sejak awal tahun lalu itu kemudian tidak memulangkan duit kepada mangsa atau memberi cek atas nama akaun syarikat yang telah ditutup.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, hasil aduan yang diterima daripada beberapa mangsa, pihaknya telah menahan seorang wanita berusia 56 tahun yang merupakan pengarah salah sebuah syarikat terbabit di sebuah rumah di Damansara kira-kira pukul 10 malam pada 9 April lalu.

Izany berkata, ekoran penahan wanita terbabit, polis kini mengesan seorang lelaki dan dua wanita lain yang juga merupakan suami dan madu kepada suspek berkenaan.

"Mereka yang dicari bagi membantu siasatan tersebut ialah Zakariah Hassan, 56 yang beralamat di Taman Keramat Permai bersama dua lagi isterinya iaitu Suziana Mohd. Yamin, 47, dan Syarifah Norfazihan Syed Mustafa, 36," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Izany berkata, syarikat yang dikendali oleh lelaki bersama tiga isterinya itu beroperasi di Wangsa Maju di sini sementara dua lagi syarikat terbabit beroperasi di Kedah.

Beliau berkata, selain itu, pihak­nya turut mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang suspek yang dikenali sebagai Nurul Yasmin Rosli, 25, kerana gagal menghadiri pendakwaan di mahkamah berhubung kes penipuan umrah ini.

"Suspek ditahan di Putrajaya baru-baru ini dan dilepaskan dengan jaminan polis namun gagal menghadiri pendakwaan. Oleh itu dia diminta segera hadir ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi," ujarnya.

Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar menghubu­ngi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Rozaidi Ramli di talian 012-8483203 atau Inspektor Noor Azean Azdzila Zulkifli (017-5952185).

"Mana-mana mangsa yang pernah menjadi mangsa pakej umrah sebegini juga diminta untuk tampil membuat laporan polis," ujarnya.

Sumber:utusanmalaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...