Isnin, 5 Mei 2014

EMPAT INDIVIDU DITANGKAP BERSABIT KES CULIK

Gambar hiasan
Kuala Lumpur, 4 Mei - Polis berjaya menyelesaikan kes penculikan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di ibu negara pada 23 April lepas dengan penahanan empat suspek di Sungai Buloh, dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Junaidi Bujang berkata kesemua suspek berusia antara 19 dan 28 tahun itu ditahan dikawasan parkir Hentian Rehat & Rawat (R&R) Sungai Buloh, arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kira-kira pukul 11.30 malam.

Katanya, mereka ditahan oleh sepasukan peronda polis yang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir di situ.

"Pada mulanya, polis mengarahkan pemandu kereta berhenti untuk pemeriksaan namun dia enggan sehingga memaksa anggota peronda menghalang laluannya.

"Ketika seorang anggota polis keluar dari kereta, seorang daripada suspek mengacukan pistol terhadapnya sebelum merempuh anggota polis berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Anggota polis yang mengalami cedera ringan di kaki kanan itu, bagaimanapun sempat mempertahankan diri dengan melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta yang dinaiki suspek sebelum kesemua mereka berjaya ditahan.

Junaidi berkata hasil siasatan terhadap suspek, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Damai, Air Tawar, Perak, pada kira-kira pukul 6.30 pagi, Jumaat lepas dan menemui mangsa dalam keadaan selamat.

Katanya, pelajar kolej swasta itu dilaporkan hilang pada 24 April lepas apabila ibu bapa pelajar itu menyedari anak mereka tidak pulang ke rumah selepas pergi ke kolej sehari sebelum kejadian.

"Selepas ibunya membuat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini, empat hari kemudian bapanya menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suspek yang meminta wang tebusan sebanyak RM10,000 bagi membebaskan anak perempuannya," katanya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...