Khamis, 15 Mei 2014

Pemandu Peribadi Hadapi 484 Pertuduhan Pindah Harta Curi Lebih RM600,000


KLANG: Pemandu peribadi seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas lebih 400 pertuduhan menolong memindahkan harta curi membabitkan wang lebih RM600,000.

Saidina Azzuanira Saidina Othman, 43, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam tempoh sejam oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Fadhly Yaacob.

Tertuduh didakwa atas 484 pertuduhan menolong memindahkan harta curi iaitu wang berjumlah RM643,897.42 ke akaun bank milik perniagaannya, Mai Trading.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Hong Leong Bank Bhd cawangan Pelabuhan Klang di sini antara 3 Jan 2012 dan 30 Januari 2013.


Pertuduhan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Fadhly tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, sebelum memerintahkan kes itu dipindah ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama kes pecah amanah membabitkan isteri tertuduh.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah Abdul Latiff sementara Saidina Azzuanira tidak diwakili peguam.

Pada Jun tahun lepas, isterinya, Mai Shahira Ishak, 37, bekas eksekutif akaun sebuah syarikat logistik, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 489 pertuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM647,445.37 milik bekas majikannya.

Mahkamah Sesyen menetapkan esok untuk perbicaraan Mai Shahira.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...