Khamis, 1 Mei 2014

SUAMI ISTERI MENAGIH DADAH DITAHAN


BESUT - Seorang pembantu am rendah sebuah sekolah menengah dan isterinya, antara 35 orang yang ditahan kerana menagih dadah hasil Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan di sekitar Besut, kelmarin.

Pasangan suami isteri yang berusia 35 dan 34 tahun itu ditahan di rumah mereka di sebuah kampung di Jabi, awal pagi kelmarin.

Operasi membabitkan empat pegawai dan 39 anggota dilakukan di kawasan pentadbiran empat balai polis iaitu Balai Polis Jertih (turut membabitkan Dun Jabi), Pasir Akar (Hulu Besut), Kampung Raja dan Kuala Besut bermula jam 1 hingga 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sebanyak 37 serbuan dilakukan di lokasi yang dikenal pasti, tetapi daripada jumlah itu, tujuh serbuan gagal.

Menurutnya, sebelum itu seramai 45 orang ditahan untuk pemeriksaan, namun sembilan didapati negatif.

“Selain isteri penjawat awam tersebut, dua lagi wanita berusia 25 dan 26 tahun ditahan kerana didapati positif dadah,” katanya.

Kamaruddin berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 18 hingga 50 tahun dan kebanyakan mereka ditahan di rumah masing-masing.

Selain penagih dadah, polis turut menangkap empat orang kerana memiliki dadah, seorang kerana memiliki air ketum, motosikal curi (seorang) dan waran tangkap (dua orang).

Katanya, dalam operasi sama polis turut merampas 28 pil dipercayai dadah jenis methamphetamine (pil kuda), satu tiub straw dadah dipercayai heroin, sebungkus air ketum dan lima botol ubat serta sebuah motosikal.

Beliau berkata, semua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) akta sama, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motosikal.

“Kesemua mereka ditahan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Besut untuk siasatan lanjut,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...