Khamis, 26 Jun 2014

3 sahabat cedera ditetak di Pulau Perhentian

Gambar hiasan
BESUT - Tiga sahabat cedera di beberapa bahagian badan dipercayai akibat ditetak dengan pedang selepas terlibat pergaduhan dengan sekumpulan lelaki dalam kejadian di Pulau Perhentian, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, tiga mangsa berusia antara 22 hingga 31 tahun dikatakan datang ke pulau berkenaan untuk berjumpa kumpulan suspek tersebut bagi menyelesaikan perselisihan faham yang berlaku antara mereka.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, semua mangsa berjumpa dengan suspek di sebuah pantai di pulau tersebut dan dalam pertemuan itu, dikatakan berlaku pergaduhan antara dua kumpulan berkenaan di Pasir Panjang.

“Tiga sahabat itu cuba mempertahankan diri tetapi gagal sebelum dipercayai diserang kumpulan suspek.

“Sebaik puas melepaskan marah, mangsa ditinggalkan di lokasi kejadian dalam keadaan kesakitan sementara kesemua suspek melarikan diri,” katanya.


Kamaruddin berkata, kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa pertama berusia 31 tahun cedera di kepala, leher dan kaki kanan, manakala dua rakannya masing-masing berusia 27 tahun dan 22 tahun pula cedera di kepala dan belakang badan serta kepala dan rusuk kanan.

“Ketiga-tiga mangsa dilaporkan stabil dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan motif sebenar kejadian. Usaha mengesan kesemua suspek yang dipercayai melebihi lima orang sedang dijalankan.

“Motif kejadian dipercayai perselisihan faham akibat hutang dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata maut dalam rusuhan.

Kamaruddin turut menasihati masyarakat agar tidak mengambil tindakan sendiri sehingga mengakibatkan pergaduhan dan kecederaan jika berdepan sebarang masalah, sebaliknya diselesaikan dengan cara baik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...