Sabtu, 7 Jun 2014

65 Daripada Mereka Adalah Pelajar Mangsa Rogol


KOTA BHARU - Seramai 84 daripada 91 mangsa rogol di Kelantan adalah remaja bawah umur 18 tahun berdasarkan statistik dalam tempoh Januari hingga Mei, tahun ini.

Secara keseluruhan jumlah mangsa rogol dalam tempoh itu menunjukkan penurunan sebanyak 1.09 peratus berbanding 2013, walaupun berlaku sedikit peningkatan kepada jumlah mangsa bawah umur dalam tempoh yang sama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, 84 mangsa itu turut terdiri daripada pelajar yang berusia seawal 13 tahun iaitu seramai 15 orang, lebih rendah berbanding jumlah 20 orang, tahun lalu.

“Mereka yang terdiri daripada usia 14 tahun pula seramai 24 orang; 15 tahun sebanyak 23 orang; 16 tahun berjumlah 15 orang dan 17 tahun seramai tujuh orang, manakala mangsa selebihnya berusia 18 tahun dan ke atas.

“Daripada jumlah itu juga, 65 daripada mereka adalah pelajar. Jumlah tersebut menurun daripada 66 orang pelajar bagi tempoh sama, tahun lalu,” katanya.


Menurutnya, pada tahun 2013, jumlah remaja berusia 15 tahun menjadi mangsa paling ramai iaitu sebanyak 30 orang, sementara yang berusia 14 tahun pula seramai 18 orang; 16 tahun berjumlah lapan orang dan 17 tahun, lima orang.

“Semua mangsa tahun lalu berjumlah 92 termasuk 20 orang mangsa tidak ada pekerjaan dan enam lagi bekerja. Jumlah mangsa tahun ini pula 91 termasuk 18 orang yang tidak ada pekerjaan, manakala lapan lagi bekerja,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, daripada keseluruhan kes antara Januari dan Mei tahun ini, sejumlah 88 kes berjaya diselesaikan dengan 90 tangkapan berjaya dilaksanakan.

“Jumlah kes selesai meningkat daripada 87 kes dengan 51 tangkapan pada tahun sebelumnya. Jumlah keseluruhan kes selesai tahun 2013 pula berjumlah 214 dengan 161 tangkapan daripada 225 kes rogol yang dilaporkan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...