Isnin, 9 Jun 2014

JURUTEKNIK SYARIKAT KAWALAN KESELAMATAN DISYAKI LARIKAN RM235,000

Gambar hiasan
Ipoh, 8 Jun - Polis menahan seorang juruteknik syarikat kawalan keselamatan di sini kelmarin kerana disyaki melarikan wang tunai RM235,000 ketika memungut wang daripada mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di sekitar Ipoh dan Kampar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Maszely Minhad berkata suspek yang berumur 23 tahun itu ditahan pada pukul 6 petang, selepas pengurus syarikat berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu Rabu lepas.

Beliau berkata susulan daripada tangkapan itu, pada hari yang sama, pemeriksaan dijalankan di kawasan hutan terpencil di Kampung Bunga Tanjung, Malim Nawar dekat Kampar di sini, dan menemui RM210,000 daripada jumlah keseluruhan wang yang dilarikan.
"Usaha untuk mendapatkan semula baki wang yang dicuri sedang giat dijalankan," katanya pada sidang media di Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.

Mengulas semula mengenai kejadian itu, Maszely berkata hasil siasatan mendapati suspek bertindak menyorokkan wang yang dicuri ke dalam jaket berwarna hitam yang dipakainya, sebelum menjalankan tugas.

Bagaimanapun tiga pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu tidak menyedari tindakan suspek sedemikian.

Katanya siasatan mendapati suspek yang bekerja di syarikat itu sejak setahun lepas tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Suspek kini ditahan reman sehingga Isnin ini dan disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...