Jumaat, 11 Julai 2014

Ketua polis daerah sepatutnya tahu

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 9 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah mengeluarkan arahan yang mewajibkan setiap ketua polis daerah bertanggungjawab atas kewujudan premis-premis perjudian termasuk yang tidak berlesen di kawasan masing-masing.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, arahan itu dikeluarkannya semasa beliau memegang jawatan tertinggi PDRM dari 1994 hingga 1999.

Menurut beliau, tindakan itu sesuatu yang wajar memandangkan ketua-ketua polis daerah bertanggungjawab mengetahui apa sahaja yang berlaku di dalam kawasan kepolisan mereka.

"Konsepnya mudah, sekiranya premis perjudian itu terletak di Melaka Tengah maka Ketua Polis Daerah Melaka Tengah mesti mempunyai maklumat terperinci tentang premis terbabit.

"Beliau mempunyai segala sumber yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab itu termasuk ketua bahagian siasatan jenayah dan detektif-detektifnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tentang aktiviti perjudian yang berlaku di seluruh negara sehingga mendapat reaksi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta semua pihak bertindak kerana kegiatan tersebut kini pada tahap luar biasa.

Abdul Rahim menambah, usaha membanteras kegiatan perjudian haram memerlukan kerjasama antara PDRM dan agensi-agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen bagi premis perjudian.

Beliau memberitahu, walaupun kira-kira 50 peratus daripada tanggungjawab itu diletakkan pada PDRM, agensi lain juga sepatutnya mengambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing.

"Berdasarkan pengalaman saya semasa berkhidmat dengan PDRM dahulu, agensi lain kurang memberi sambutan dalam usaha memerangi kegiatan perjudian haram," ujarnya.

Berhubung taktik licik premis perjudian haram yang berselindung di sebalik lesen kafe siber, Abdul Rahim berkata, walaupun pengeluaran lesen dan penguatkuasaan terletak di bawah bidang kuasa PBT, PDRM boleh membantu dari segi maklumat risikan.

"Saya tidak menafikan pihak polis juga ada kelemahan dari segi penguatkuasaan namun kerjasama di antara kedua-dua pihak akan menyumbang kepada keberkesanan setiap tindakan yang dilaksanakan," jelasnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...