Khamis, 31 Julai 2014

PENJENAYAH NEKAD 21 diikat, RM100,000 lesap

Gambar hiasan
PASIR SALAK 30 Julai - Sambutan Aidilfitri sebuah keluarga di Kampung Sejagop, Seberang Perak dekat sini bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kerugian RM100,000 selepas kediaman mereka dipecah masuk lima lelaki bersenjatakan parang awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, seramai 21 ahli keluarga di rumah itu yang balik kampung untuk menyambut raya turut diikat dan diugut akan dicederakan jika membuat bising.

Menceritakan detik cemas tersebut, salah seorang ahli keluarga mangsa, Mohamad Kamsul Abdul Karim, 33, memberitahu, dia menyedari kediamannya di­pecah masuk setelah dikejutkan oleh kumpulan lelaki berkenaan.

Menurutnya, salah seorang daripada perompak berkenaan meletakkan parang di lehernya dan mengarahkannya supaya tidak menjerit.


"Kesemua ahli keluarga saya termasuk ibu, adik beradik dan anak saudara saya diikat kaki dan tangan dan dikumpulkan di ruang tamu. Kami terpaksa menurut segala kemahuan mereka yang setiap seorangnya bersenjatakan parang.

"Mereka menggeledah rumah dan mengarahkan semua wang diserahkan. Kumpulan itu turut melarikan kereta jenis Naza Citra. Saya anggarkan kerugian RM100,000," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Tambah Mohamad Kamsul, kumpulan perompak berkenaan berbadan besar dan tegap serta tidak memakai penutup muka.

"Mereka dipercayai memecah masuk melalui tingkap bahagian depan sebelum melarikan diri melalui pintu dapur pada pukul 5 pagi," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Jejawi, Kota Setia, Sungai Ragam dekat sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintenden Leong Ah Kow ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...