Khamis, 24 Julai 2014

POLIS MARIN TUMPASKAN KEGIATAN PENYELUDUPAN PASIR


Kuala Langat, 23 Julai – Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang berjaya menumpaskan satu aktiviti penyeludupan pasir secara haram dalam satu operasi di kawasan Jeti Jalan Segenting, Telok Panglima Garang dekat sini dua hari lepas.

Komander PPM Wilayah Satu, ACP Mohd Yusuf Abdullah berkata, semasa menjalankan operasi pasukannya telah menahan sebuah kapal pengangkut bernombor pengenalan GM3 yang mencurigakan di Sungai Langat.

“Hasil pemeriksaan kami mendapati kapal tersebut membawa muatan pasir laut seberat 860 tan yang dipercayai hendak dipunggah keluar melalui jeti tersebut dan juragan kapal yang merupakan warga China gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan aktiviti menyedut dan memunggah pasir laut di perairan Negeri Selangor’, jelas beliau lagi.


Juragan bersama kapal serta muatannya telah ditahan dan telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor untuk disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...