Sabtu, 12 Julai 2014

Polis Tahan Penjual Mercun Online


KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki yang mempromosi serta menjual mercun melalui laman sosial Facebook dalam satu serbuan di rumahnya di Beserah di sini petang Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Azizan Md Isa berkata akaun Facebook yang menggunakan nama 'Adam Danial' itu dikesan mempromosi bahan terlarang berkenaan pada 8 Julai lepas.
"Susulan itu polis telah menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan suspek, 29, di rumahnya kira-kira 1.15 petang Khamis.
"Hasil serbuan itu juga polis merampas 16 kotak pelbagai jenis mercun dan empat kotak bunga api yang bernilai RM1,000," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.
Katanya polis percaya suspek belum sempat menjual barang terlarang itu dan kini sedang menyiasat sumber yang membekalkan bahan terbabit kepada suspek.
"Orang ramai dilarang menjual mercun atau bunga api tanpa permit dan permit jualan itu hanya boleh didapati melalui ketua polis daerah kira-kira dua minggu sebelum hari perayaan," katanya.
Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai peniaga baju di pasar malam dan sudah berkahwin itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1967.
Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...