Isnin, 11 Ogos 2014

#Jenayah Kekerasan: Empat sahabat kerugian RM160,000 disamun lelaki bersenjatakan pistol


NIBONG TEBAL - Empat sahabat kerugian lebih RM160,000 selepas pelbagai barangan berharga milik mereka disamun tiga lelaki yang bersenjatakan sepucuk pistol ketika sedang minum di sebuah kedai makanan di Sungai Bakap, di sini awal hari ini.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian pukul 5 pagi itu, empat lelaki berusia 30 hingga 48 tahun itu sedang minum sebelum sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki tiga suspek berhenti di hadapan kedai makan tersebut.


"Dua daripada tiga lelaki tersebut keluar dari kereta dan menghampiri mangsa sebelum seorang suspek mengacukan sepucuk pistol sambil mengarahkan mereka tunduk di bawah meja.
"Suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai dan barangan berharga yang mereka miliki," katanya di sini.

Ujarnya, empat lelaki itu yang bimbang dicederakan menyerahkan dua utas jam tangan berjenama Rolex bernilai RM130,000, sebentuk cincin emas, wang tunai RM800 dan dua unit telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM162,000. - Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...