Khamis, 7 Ogos 2014

#JENAYAH KEKERASAN: PELAJAR PEREMPUAN ANTARA LIMA DITAHAN SELEPAS SAMUN KAFE INTERNET


Bukit Mertajam, 6 Ogos - Seorang pelajar perempuan adalah antara lima remaja yang ditahan kerana disyaki menyamun sebuah kafe Internet di Taman Sri Kijang, Alma di sini awal pagi semalam.

Jurucakap polis berkata remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun itu ditahan apabila kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam semak selepas dikejar polis peronda di kawasan Bukit Tengah, kurang setengah jam selepas kejadian samun itu.

Dalam kejadian 4 pagi itu, sekumpulan remaja bersenjatakan parang dan memakai penutup mulut meluru masuk ke kafe Internet berkenaan dan melarikan wang tunai RM250.

"Tiga daripada mereka mengacukan parang ke arah pekerja di kaunter dan mengarahkan lelaki itu menyerahkan wang tunai manakala dua lagi mengacukan parang ke arah pelanggan dan mengugut supaya diam serta duduk di tempat masing-masing jika tidak mahu dicederakan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata sebaik memperoleh wang tunai, kumpulan itu melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Iswara putih yang diletakkan di hadapan kafe Internet itu.

Jurucakap itu berkata kereta dinaiki kumpulan remaja terbabit berjaya dikesan anggota polis yang sedang meronda di kawasan Bukit Tengah.

"Polis mengarahkan pemandu kereta itu berhenti tetapi lelaki terbabit enggan dan terus memecut laju menyebabkan polis mengejar mereka," katanya menambah polis menemui parang serta topeng mulut di dalam kereta itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan penahanan lima remaja terbabit dan berkata kesemua mereka kini direman untuk membantu siasatan.

"Empat remaja lelaki yang ditahan itu sudah tidak bersekolah manakala yang perempuan adalah pelajar tingkatan dua. Kami juga sedang siasat sama ada mereka terlibat dalam beberapa kejadian samun di daerah ini," katanya. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...