Jumaat, 29 Ogos 2014

Sarjan Polis 24 tahun Dituduh Lagi Terima Rasuah


SHAH ALAM (Klik) - Seorang anggota polis yang berpangkat Sarjan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini berhubung kesalahan menerima rasuah dalam kes yang berkaitan dengan dadah

Sarjan Mohd Faridzuddin Hamzah, 24, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor mengaku tidak bersalah memperoleh suapan RM500  sebanyak dua kali sebagai dorongan untuk menyelesaikan satu kes narkotik. 

Mohd Faridzuddin didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 April 2014 dan 5 Mac 2014 di Tingkat 1, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. 


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. 
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. 

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM 10,000.00, mengikut mana yang lebih tinggi. 

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke. 

Hakim Dato' Noradidah Ahmad menetapkan wang jaminan RM 3,000 ke atas Mohd Faridzuddin, yang diwakili peguam Salim Bashir dengan seorang penjamin manakala pasport antarabangsanya ditahan oleh mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan di Mahkamah. 

Mahkamah menetapkan 25 Ogos 2014 ini untuk sebutan kes. 
Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, Rosbiahanin Arifin membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya pada 24 Julai yang lalu supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...