Selasa, 3 Februari 2015

Boikot peniaga Cina: Menteri dipanggil polis

KUALA LUMPUR, 2 Februari: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan beliau yang meminta orang Melayu memboikot perniagaan peniaga Cina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan mengambil langkah segera bagi mengelakkan daripada terjadinya ketegangan kaum.

“@PDRMsia akan panggil Menteri Pertanian untuk kita rakam percakapannya dalam isu ini. PDRM akan memastikan keharmonian kaum dihormati,” kata Khalid melalui laman Twitternya hari ini.


Terdahulu, Ismail Sabri di akaun Facebook beliau semalam secara terbuka menyeru agar pengguna memboikot peniaga cina yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan menaikkan harga dan menindas pengguna.

Kenyataan beliau itu hadir ketika orang ramai turut tidak berpuas hati dengan kedegilan peniaga yang enggan menurunkan harga barang sekalipun kerajaan sudah menurunkan harga bahan api petrol serta diesel sebanyak tiga kali sejak Disember tahun lepas hingga semalam.

“Maaf saya beri pandangan, selain daripada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) yang patut gunakan Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan untuk ambil tindakan kepada peniaga yang naikkan harga tanpa sebab munasabah, kuasa yang terbesar ada pada pengguna.

“Majoriti pengguna adalah Melayu. Cina adalah minoriti. Kalau Melayu boikot perniagaan mereka, mereka tentu tiada pilihan untuk turunkan harga. Bayangkan banyak kedai makan cina yang tiada logo halal dan beberapa kali diserbu dan ditangkap kerana kehalalan yang meragukan.

“Melayu masih berpusu-pusu ke restoran tersebut sedangkan beribu-ribu restoran Melayu yang sah halal,” komen Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera di Facebook beliau yang mencetuskan kontroversi hari ini.

Kenyataan beliau itu telah mengundang pelbagai reaksi negatif daripada pelbagai termasuk dari parti komponen Barisan Nasional, MCA yang dilapor bergabung dengan DAP dalam mengecam beliau.

Bagaimanapun, Ismail hari ini sudah tammpil menjelaskan bahawa kenyataan beliau merujuk kepada peniaga Cina yang enggan menurun harga barang dan bukan keseluruhan masyarakat Cina.


“Ya, kenyataan itu bukan ditujukan kepada semua kaum Cina tetapi kepada pemborong dan peniaga Cina yang masih tidak mahu menurunkan harga walaupun harga minyak sudah turun,” tegas Ismail.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...