Sabtu, 7 Februari 2015

Rumah menteri, kilang jadi sasaran tembakan


SIBU 6 Feb. - Satu pasukan petugas diwujudkan bagi menyiasat dua kes tembakan yang berlaku di rumah Menteri Kewangan Kedua negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh dan sebuah kilang percetakan akhbar Kumpulan See Hua di Sungai Antu Industrial Estate dekat sini pagi ini.

Difahamkan, jarak lokasi tembakan di kilang percetakan akhbar tempatan berkenaan terletak kira-kira tiga kilometer dari kediaman wakil rakyat itu.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Kamal Kordi, beliau sendiri akan mengetuai siasatan kes tersebut dengan dibantu semua elemen dalam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.


Katanya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zulkifli Hassan juga telah mengarahkan pasukan Siasatan Jenayah Berat dan forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) untuk membantu.

“Dalam tembakan di rumah milik Soon Koh, kejadian disedari oleh anaknya, Datuk Andrew Wong Kee Yew dengan bunyi sedas tembakan kira-kira pukul 5.35 pagi.

“Ketika kejadian, difahamkan Soon Koh berada di Kuching. Pemeriksaan lanjut di rumah Soon Koh menemukan sembilan kesan das tembakan yang dilepaskan dari luar pagar konkrit rumah terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Sebelum ini, rumah Soon Koh juga pernah menjadi sasaran penjenayah apabila beberapa das tembakan dilepaskan dan mengenai bahagian tingkap di sebuah bilik di kediaman itu pada 14 Ogos tahun lalu.

Tambahnya, siasatan awal mendapati tembakan itu dilakukan dengan menggunakan senapang patah jenis single barrel 12 bore.

Kamal berkata, senjata jenis sama juga dipercayai digunakan dalam kejadian kedua di sebuah kilang percetakan akhbar Kumpulan See Hua di Sungai Antu Industrial Estate kira-kira pukul 5.20 pagi.

“Bunyi sedas tembakan disedari oleh pengawal bangunan lalu menghubungi pengurus dan melaporkan kepada polis.


“Hasil pemeriksaan terdapat serpihan kaca di hadapan pintu masuk bangunan dan sembilan kesan peluru pada empat cermin serta lima di dinding,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...