Khamis, 26 Februari 2015

Siti Nurhaliza berisiko diculik


KUALA LUMPUR – Datuk Siti Nur­haliza Tarudin, 35, yang didakwa sebagai wanita ketiga terkaya di Malaysia boleh berdepan ancaman penculikan oleh sindiket-sindiket tertentu yang mahu mengambil kesempatan atas kekayaan penyanyi tersohor tanah air itu.
Penganalisis jenayah, S. Jeevan berkata, maklumat seumpama itu boleh menjadi perhatian kumpulan penjenayah dalam merangka sasaran mereka bagi melakukan jenayah terancang untuk menculik biduanita berkenaan.

“Berdasarkan keadaan ekonomi negara malah dunia yang tidak begitu stabil, maka informasi mengenai siapa kaya dan siapa berharta boleh membuatkan mereka yang sudah lama menunggu peluang ini mengambil tindakan di luar jangkaan.
“Oleh sebab itu, apabila keluarnya laporan mengatakan Siti Nurhaliza merupakan wanita ketiga terkaya, maka dia tidak boleh memandang remeh atau ambil mudah akan hal ini sebaliknya perlu ada inisiatif untuk meningkatkan keselamatan diri serta keluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu beliau diminta mengulas laporan Kosmo! semalam bahawa Siti Nurhaliza mengakui keselamatan dirinya tergugat setelah penyebaran maklumat mengenai dirinya menjadi wanita ketiga terkaya di Malaysia dengan kekayaan dianggarkan RM50 juta.
Dalam pada itu, Jeevan memberitahu, kerajaan tidak boleh menyekat atau mengambil tindakan ke atas pihak yang mengeluarkan laporan mengenai kekayaan Siti Nurhaliza kerana ia melibatkan hak asasi individu iaitu kebebasan bersuara.

Bagaimanapun katanya, penyanyi yang terkenal dengan lagu Jaga Dia Untukku itu perlu membuat laporan ke Mahkamah Sivil sekiranya beliau mahu berbuat demikian bagi melindungi hak asasi dirinya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...