Khamis, 30 April 2015

16 SEKOLAH MENENGAH DIPILIH SEKOLAH ANGKAT PDRM


Kuala Terengganu, 29 April - Sebanyak 16 sekolah menengah di negeri ini dipilih sebagai perintis sekolah angkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu.
Pemangku Ketua Polis Terengganu Dato’ Hashim Abdul Jalil berkata kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) itu merupakan sebahagian daripada usaha mengurangkan kadar jenayah dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini.
Katanya projek perintis itu turut melibatkan Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah sebelum diperluaskan ke sekolah di seluruh daerah secara berperingkat.

"Sebagai permulaan, kita telah memilih sebanyak dua sekolah menengah di setiap daerah sebagai 'pilot' projek sebelum kita kembangkan kepada seluruh sekolah.
"Kita akan bekerjasama dengan pihak JPNT bagi memastikan jenayah melibatkan pelajar terus dapat dikurangkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Sekolah Angkat dan Pasukan Pelawat PDRM bersama-sama JPNT di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Hashim berkata program sekolah angkat ini sebenarnya pernah dijalankan sebelum ini, namun ia tidak begitu menyeluruh dan merupakan kesinambungan kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
Justeru, katanya pihak polis akan terus memperkasakan fungsi PPS itu bagi memantau pelajar sekolah khusunya mereka berusia antara 13 dan 15 tahun daripada terjebak gejala tidak sihat.
Jelasnya, pada peringkat umur itu pelajar mudah dipengaruhi anasir negatif terutamanya ancaman menerusi laman sosial seperti Facebook dan Internet.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...