Sabtu, 18 April 2015

‘Datuk’ KDN palsu ditahan miliki tiga pistol haram


KUALA LUMPUR, 17 April: Seorang lelaki dan seorang wanita berusia 49 dan 24 tahun yang dipercayai pasangan kekasih, ditahan kerana memiliki tiga pucuk pistol secara haram, dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Ampang, semalam.

Selain pistol, polis turut menemui cop pengesahan menggunakan nama ‘Datuk Azharudin Ahmad’, kononnya pegawai tugas khas kepada Menteri Dalam Negeri yang sebenarnya tidak wujud, serta kad nama ‘Datuk Azharudin Ahmad’ yang beralamat di Unit Khas Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.


Polis turut menemui pas keselamatan Kementerian Dalam Negeri dan pas kerja di Majlis Keselamatan Negara, dalam tangkapan kira-kira jam 3 petang itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya mendapat maklumat awam, terdapat individu mencurigakan yang menyamar sebagai ‘Datuk’ dan menetap di pangsapuri itu.

Beliau berkata, polis menyerbu rumah itu dan menahan lelaki serta wanita berkenaan yang mengaku diri adalah tuan rumah.

“Hasil siasatan polis mendapati, lelaki itu mempunyai rekod kesalahan lampau dadah yang dikehendaki polis di Tangkak, Johor.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah suspek, polis menemui tiga pucuk pistol dalam tiga beg hitam tertulis Jabatan Perkhidmatan Awam di bilik berlainan, iaitu sepucuk Revolver dan dua pistol automatik dalam bilik suspek.

“Selain itu, polis juga menemui enam butir peluru berserta 119 bebola besi dalam beg lutsinar serta sebilah pisau panjang. Turut ditemui sepasang gari,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menemui kad pengenalan atas nama ‘Fadzilah Hashim’.

“Polis telah menghubungi pihak JPM untuk mendapatkan pengesahan, bagaimanapun pas (kerja) itu tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya membawa polis ke kawasan letak kenderaan bawah tanah dan hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek jenis Kelisa, pihaknya menemui sehelai jaket berwarna hijau jenama Polo tertera tulisan ‘Special Forces Gerak Khas KDN’.


Kedua-dua suspek ditahan reman lima hari sehingga Isnin depan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...