Selasa, 30 Jun 2015

Dua Lelaki Termasuk Warga Venezuela Ditahan, Dadah Bernilai RM25 Juta Dirampas


KUALA LUMPUR: Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia menumpaskan dua sindiket dadah dengan penangkapan dua lelaki termasuk warga Venezuela dan merampas dadah bernilai kira-kira RM25 juta Jumaat lepas.

Melalui dua operasi itu, polis merampas dadah jenis kokain seberat 2.8kg bernilai RM672,000 dan syabu seberat 120.65kg berjumlah RM24.13 juta serta menahan dua lelaki, seorang warga Venezuela berusia 62 tahun dan seorang warga tempatan berumur 24 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pasukan itu turut menyita sebuah kereta bernilai RM10,000.
"Pada 3 petang Jumaat lepas, polis membuat serbuan di kawasan tuntutan bagasi di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan memberkas seorang lelaki warga Venezuela yang baru tiba dari negara itu.
"Dadah kokain itu disorok di bawah lapisan kotak nipis sebelum dimasukkan ke dalam sebuah beg yang dibawa oleh suspek," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.
Mohd Mokhtar berkata, polis akan menyiasat berkemungkinan sama ada negara ini dijadikan pusat transit oleh sindiket itu untuk menyeludup dadah dari negara luar bagi pasaran antarabangsa.
Sementara, operasi kedua bermula dari 2.30 petang hingga 11.15 malam pada hari sama, polis menahan seorang lelaki warga tempatan di sekitar Mutiara Kompleks, Jalan Ipoh.
"Lelaki tempatan itu disyaki menyeludup dadah jenis syabu dari China ke negara ini dengan menggunakan perkhidmatan syarikat kurier. Polis menemui dadah jenis syabu yang diletakkan dalam 12 plastik lutsinar dan dimasukkan dalam enam kotak.
"Turut disita sebuah kereta Proton Wira bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah terbabit," katanya.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 3 Julai ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua siri kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat perkongsian maklumat risikan antara STING bersama Police Narcotics Suppression Bureau (PNSB) Thailand dan Central Narcotics Bureau (CNB) Singapore.
Mengenai statistik kejayaan rampasan dadah dari Januari hingga 25 Jun tahun ini, Mohd Mokhtar berkata keseluruhan nilai rampasan ialah sebanyak RM130.93 juta iaitu syabu (613.03kg), ketamin (31.39kg), pil ekstasi (376,868 biji), pil yaba (149,559 biji) dan pil eramin 5 (1,512,734 biji).
"Sementara jumlah tangkapan dalam tempoh tersebut ialah sebanyak 89,443 orang iaitu membekal (9,404 orang), memiliki dadah (20,684 orang) dan positif urin (59,355 orang).
"Dalam tempoh itu juga, polis telah membongkar sebanyak 19 makmal dadah dengan membuat 53 tangkapan. Selain itu, seramai 446 orang dicekup di bawah langkah-langkah pencegahan khas," katanya.-- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...