Ahad, 28 Jun 2015

Polis Tembak Mati Tiga Penjenayah Aktif Pecah Rumah Di Shah Alam

SHAH ALAM: Sekumpulan tiga lelaki dipercayai penjenayah warga asing yang aktif melakukan pecah rumah di sekitar bandar raya ini ditembak mati oleh polis awal pagi Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi di Bukit Jelutong di sini, sepasukan polis terserempak dengan tiga individu dalam keadaan mencurigakan ketika membuat pemantauan, susulan aduan cubaan pecah masuk rumah oleh seorang penduduk di kawasan itu.


"Ketika polis cuba menahan mereka bagi melakukan pemeriksaan, dua daripada mereka telah menyerang anggota polis menggunakan parang dan anggota kami terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai ketiga-tiga suspek.

"Kesemua suspek mati di tempat kejadian. Bagaimanapun identiti dan kewarganegaraan mereka tidak dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersama suspek," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Mohd Adnan berkata pemeriksaan lanjut terhadap beg yang dibawa seorang daripada suspek menemui pelbagai alatan pecah rumah antaranya sebuah pemutar skru, tiga topeng muka, tiga pasang sarung tangan dan peralatan pemotong.

Turut dijumpai sepucuk pistol angin dan dua bilah parang, katanya.

Menurut Mohd Adnan, kumpulan penjenayah terbabit dipercayai aktif melakukan rompakan di Shah Alam, terutama di kawasan Bukit Jelutong.

Berdasarkan statistik polis, dari Januari sehingga semalam, sebanyak 20 kes pecah rumah dilaporkan di Shah Alam dan 12 kes daripadanya berlaku di Bukit Jelutong.


"Polis percaya modus operandi kumpulan berkenaan adalah dengan memecah masuk rumah mangsa pada waktu awal pagi antara pukul 1 hingga 5 pagi," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...