Sabtu, 25 Julai 2015

Doktor disamun ‘orang minyak’


Seremban: Seorang doktor lelaki bukan saja disamun RM600 malah dipaksa menanggalkan pakaian dan kencing di hadapan sebuah kedai di Jalan Temiang, di sini, oleh ‘orang minyak’ yang merompaknya, kelmarin.

Sumber berkata, lelaki berusia 36 tahun terbabit minum di sebuah restoran di Jalan Lobak, di sini, sebelum memandu kereta pulang ke rumahnya.

Katanya, mangsa singgah di sebuah kedai serbaneka 24 jam untuk membeli sos cili sebelum meneruskan perjalanannya, jam 2 pagi.


“Apabila tiba berhampiran kawasan semak, mangsa menyedari seolah-olah terlanggar seorang lelaki yang badannya dipenuhi minyak menyebabkan dia keluar daripada keretanya untuk memeriksa.

“Malangnya, tindakan itu membawa padah apabila lelaki yang bersenjata pisau itu mengugut mangsa menyerahkan wang tunai sebelum menggeledah kereta mangsa,” katanya.

Sumber berkata, suspek berusia 20-an itu menemui sos cili yang dibeli mangsa dalam kereta lalu mengambil dan mengarahkan mangsa mengekorinya ke kedai berhampiran.

Menurutnya, sebaik berada di hadapan kedai, mangsa diminta menuang sos berkenaan dan menanggalkan pakaian serta kencing di hadapan kedai berkenaan.

“Bagaimanapun, nasib menyebelahi mangsa apabila ada motosikal dan kereta melalui kawasan itu menyebabkan suspek melarikan diri,” katanya suspek dipercayai mabuk.

Menurutnya, mangsa dibantu orang awam sebelum dia tampil membuat laporan di Balai Polis Campbell, di sini.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...