Isnin, 17 Ogos 2015

Buang Janin dalam tandas surau


KUALA TERENGGANU – Jemaah di sebuah surau di Durian Burung, di sini gempar dengan penemuan janin di dalam tandas lelaki surau berkenaan kira-kira jam 3 petang semalam.

Setiausaha surau tersebut, Ahmad Amzad Hashim berkata, kejadian tersebut disedari jemaah yang ingin menggunakan tandas surau berkenaan.

“Kebetulan saya ingin pulang ke rumah yang terletak bersebelahan surau ini, tengok orang ramai di surau dan saya diberitahu penemuan janin ini di atas lantai tandas lelaki.

“Memang terkejut kerana ia pertama kali berlaku di sini dan saya terus menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu memaklumkan penemuan ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurut Ahmad Amzad, pasukan polis yang datang memeriksa mengesahkan ia janin manusia dan dipercayai dilakukan selepas jemaah selesai menunaikan solat Zohor.

“Ini kerana ramai jemaah datang solat Zohor di sini tadi (semalam) tapi kita tidak jumpa apa-apa yang pelik atau yang mencurigakan, mungkin ia dilakukan selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, pasukan forensik telah membuat siasatan di lokasi kejadian dan janin tersebut diserahkan kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, usia sebenar janin belum dapat dipastikan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Oleh itu kita minta orang ramai yang mengetahui mana-mana individu yang menyembunyikan kelahiran atau terbabit dalam kes ini hubungi polis atau datang ke balai untuk membantu siasatan,” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...