Rabu, 2 September 2015

Pelajar sekolah antara dalang curi motosikal

SETIU - Polis Terengganu melumpuhkan lima kumpulan yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di beberapa daerah di negeri itu dan menahan 32 individu termasuk tiga pelajar sekolah yang menganggotai kumpulan berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, kesemua suspek yang berusia sekitar 15 hingga 30 tahun itu diberkas bermula Januari hingga Ogos lalu melibatkan daerah Kuala Terengganu, Dungun, Besut dan Hulu Terengganu.


"Bagi daerah Kuala Terengganu sebanyak 12 tangkapan dilakukan melibatkan dua kumpulan, diikuti daerah Dungun (14) manakala Hulu Terengganu (empat) dan Besut (dua) tangkapan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, dengan tertangkapnya kesemua suspek tersebut pihak polis berjaya menyelesaikan 26 kes curi motosikal iaitu Kuala Terengganu mencatatkan penyelesaian kes paling tinggi sebanyak 11 kes, Dungun (tujuh), Hulu Terengganu (lima) dan Besut (tiga).

Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, 939 kes kecurian motosikal direkodkan iaitu menunjukkan pengurangan berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu 1,051 kes.

"Kes curi motosikal merupakan penyumbang utama kadar kes jenayah di negeri ini dan hampir 50 peratus kadar jenayah indeks membabitkan kes tersebut," katanya. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...