Jumaat, 11 September 2015

Polis buru empat perancang utama rusuhan di Stadium Shah Alam


SHAH ALAM 10 Sept. – Polis mengenal pasti empat perancang utama dalam insiden rusuhan semasa perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara skuad Harimau Malaya dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.












Keempat-empat mereka ialah Mohd. Ridzuan Ahmad atau Lekir, 36; Alfadli Awaludin, 33, atau Rambo daripada Ultras Malaya dan dua lagi dipercayai pemimpin Ultras Sela­ngor, Pak Anjang dan Shap berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, kesemua mereka merupakan antara 14 individu yang dipercayai terlibat dalam rusuhan berkenaan.


“Kesemua yang dicari diminta tampil memberi keterangan bagi membantu melancarkan siasatan polis. Setakat ini, tiada lagi mana-mana individu yang tampil untuk memberi keterangan dan bekerjasama dengan polis.

“Sehubungan itu, kita mengedarkan 12 gambar individu yang terlibat dalam kejadian itu termasuk perancang utama," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, polis menahan reman 11 suspek termasuk lima pelajar institusi pengajian tinggi awam sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.

Shafien memberitahu, hasil siasatan mendapati berlaku kelemahan dalam kawalan keselamatan ketika separuh masa kedua apabila kira-kira 60 orang membolosi kawalan keselamatan di pintu orang kenamaan (VIP) yang dijaga oleh anggota-anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Beliau tidak menolak kemungkinan keadaan itu menyebabkan barangan terlarang terlepas masuk ke dalam stadium.

Menurutnya, bagi menghalang kejadian serupa berulang dalam perlawanan Kelantan menentang Selangor pada Sabtu ini di stadium sama, polis akan meningkatkan kawalan keselamatan dengan mengadakan pemeriksaan ketat termasuk menghalang mana-mana individu membawa peralatan yang boleh membahayakan penonton lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...