Rabu, 28 Oktober 2015

Kedai Emas Jalan Tuanku Hassan Dirompak

SEREMBAN: Sebuah kedai emas kerugian RM50,000 selepas dua penjenayah melarikan barang kemas dalam kejadian di Jalan Tuanku Hassan, di sini Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, dua penjenayah dipercayai  seorang lelaki dan seorang wanita yang memakai topi keledar menutup muka,  memecahkan cermin pameran dan mengambil barang kemas tersebut.
Kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dengan sebuah motosikal yang disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Semasa kejadian, tiada pelanggan di dalam kedai dan hanya terdapat seorang pekerja berada di bahagian hadapan, manakala dua lagi pekerja di belakang kedai berkenaan.

Pemeriksaan yang dilakukan polis mendapati, kedai emas berkenaan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun tiada pengawal keselamatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
"Pemilik kedai emas dinasihatkan supaya mempunyai pengawal keselamatan,  selain CCTV bagi memastikan keselamatan kedai emas mereka dan juga pelanggan terjamin," katanya. - BERNAMA


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...