Isnin, 5 Oktober 2015

PENDEKATAN "COUNTER NARRATIVE" PERLU DILAKUKAN UNTUK TANGANI IS

Agensi yang berkaitan dalam kerajaan perlu proaktif menggunakan pendekatan "counter narrative" untuk mengekang pengaruh Kumpulan Negara Islam (IS) dalam laman sosial terutama terhadap golongan muda dan pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini.
Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Dato' Ayub Khan Mydin Pitchay berkata ini kerana kumpulan IS menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan mesej mereka, memberi inspirasi kepada pengikut dan merekrut anggota baru.

"Kalau kita hendak berperang dengan ideologi IS, aspek 'counter narrative' ini penting. Kita perlu counter balik ideologi yang diwar-warkan oleh media sosial mereka seperti perlu berjihad dan berhijrah dari Malaysia untuk ke negara Islam (Syria).
"Perkara-perkara inilah yang perlu diperbetulkan oleh golongan cerdik pandai agama. Kita kena terangkan konsep hijrah yang betul dan apa itu jihad. Perkara ini perlu dijelaskan dengan terperinci agar umat Islam faham apa yang dilakukan oleh IS itu bukan yang dituntut oleh Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan Ancaman Keselamatan Dalam Negara: Pengaruh Terrorisme Antarabangsa di Universiti Malaysia Pahang di sini.
Ayub Khan berkata IS menggunakan media sosial semaksimum mungkin dengan menggerakkan beribu-ribu tentera siber mereka yang proaktif di seluruh negara untuk bergerak sendirian tanpa berbayar bagi menyebarkan fahaman kumpulan itu.
Sehubungan itu katanya, usaha bersepadu "counter narrative" perlu dilakukan melibatkan pelbagai agensi dan bukan hanya pihak polis sahaja jika mahu mengekang kumpulan ekstremis itu daripada menyebarkan pengaruh mereka di negara ini.
Menurutnya, pihak polis dalam usaha menyedarkan golongan pelajar serta rakyat di negara ini tentang bahaya ancaman IS sendiri dengan mengadakan beberapa siri ceramah di institusi pengajian tinggi dan masjid di negara ini.
Katanya kebanyakan golongan muda dan pelajar, terutama yang
mempunyai masalah keluarga serta cetek pengetahuan agama mudah terpengaruh dengan fahaman kumpulan itu apabila dijanjikan dengan tawaran seperti mati syahid (jalan singkat ke syurga) serta boleh berkahwin secara mutaah.

Manakala golongan wanita pula didapati cenderung menyertai kumpulan ini kerana tertarik dengan ketampanan wajah "mujahidin" kumpulan itu dan ditawarkan menjadi isteri mereka, tambah beliau.
Ayub Khan berkata, paling membimbangkan trend terbaru mendapati ada kalangan rakyat di negara ini yang terpengaruh dengan fahaman kumpulan tersebut membawa bersama anggota keluarga mereka termasuk anak mereka berhijrah ke Syria semata-mata kononnya kerana Malaysia adalah negara "thagut" (tidak melaksanakan ajaran Islam).
Beliau menjelaskan Feb 2013 sehingga Jun tahun ini, pihak polis telah menahan seramai 122 orang di negara ini termasuk 105 rakyat tempatan yang dipercayai terlibat dengan aktivti keganasan.
Pada masa sama, katanya pihak polis juga sedang mengawasi 20 laman sesawang dan Facebook di negara ini yang didapati cuba merekrut rakyat di negara ini untuk menyertai perjuangan kumpulan itu.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...