Rabu, 14 Oktober 2015

Pistol Dan Senjata Lain Dirampas Dalam Pergaduhan Babitkan 20 Remaja

Gambar hiasan
MIRI: Pergaduhan ganas melibatkan lebih 20 ramaja di Taman Bumiko dekat sini membawa kepada penemuan pelbagai jenis senjata, termasuk pedang, pisau dan pistol.

Anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai pergaduhan pada Ahad dan tiga orang telah ditahan, kata sumber.

Difahamkan beberapa orang daripada mereka yang terlibat dalam pergaduhan itu turut cedera.

Polis juga merampas beberapa buah kereta yang dipercayai telah digunakan oleh kumpulan remaja terbabit.


Salah sebuah kenderaan rosak teruk dengan tingkap dan cermin depan berkecai.

Dipercayai, antara senjata yang ditemui termasuklah pedang Cina, pisau Rambo, pedang samurai, rod dan sabit serta pistol Glock.

Polis masih menyiasat motif di sebalik pergaduhan tetapi siasatan awal menunjukkan bahawa remaja terbabit menyerang antara satu sama lain selepas minum di sebuah kedai kopi.

Tidak dapat dipastikan sama ada mereka adalah berkumpulan tetapi menurut sumber, polis Miri telah mengenal pasti mereka yang terlibat dalam pergaduhan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...