Rabu, 11 November 2015

1,550 saman dalam Ops Khas Trafik LPT2


Kuala Nerus: Sebanyak 1,550 saman dikeluarkan dengan 802 saman membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju sepanjang empat hari Operasi Khas Trafik Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang tamat semalam.

Daripada jumlah itu, 748 saman lagi membabitkan lain-lain kesalahan selain empat lelaki berusia 29 hingga 45 tahun turut ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Selain itu, operasi yang membabitkan 27 pegawai dan 103 anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bersama Bukit Aman dan IPK Johor turut menahan dua lelaki mengikut Seksyen 15 (1) ADB 1952.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, operasi khas ini turut menyita enam kenderaan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan seperti menggunakan nombor pendaftaran palsu dan cukai jalan tamat tempoh.

Beliau berkata, sepanjang operasi ini, pihaknya turut mengesan ada pengguna yang memandu sehingga 210 kilometer sejam di LPT2 dan tindakan itu bukan hanya membahayakan nyawa mereka tetapi pengguna lain.

"Walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan, ada segelintir pengguna memandu melebihi had laju ditetapkan tanpa rasa bersalah," katanya yang mewakili Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman bagi merasmikan Majlis Penutup Operasi Khas LPT2 di Pejabat FELDA Wilayah Timur, Tepoh, di sini.

Dalam pada itu, Wan Abd Aziz berkata, 2,041 kes kemalangan direkodkan membabitkan 67 kemalangan maut dengan 87 kematian direkodkan sepanjang LPT2 dibuka bermula Ogos 2011 hingga semalam.

Katanya, 803 kes kemalangan pula direkodkan membabitkan 32 kemalangan maut yang mengorbankan 45 nyawa bagi tempoh sepanjang tahun ini hingga 3 November lalu.

"Hasil siasatan kes kemalangan pada tahun ini, laju dan terbabas masih menjadi punca utama kemalangan dengan 360 kes (44.8 peratus) diikuti langgar binatang sebanyak 112 kes (14.2 peratus), lintasan/lopak air sebanyak 77 kes (9.8 peratus) dan laju dan langgar belakang sebanyak 70 kes (8.9 peratus).

"Polis akan mengadakan Op Had Laju dan rondaan di LPT2 secara berterusan dan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang menceroboh kawasan LPT2 dengan memotong atau merosakkan pagar rezab.

“Tindakan saman juga akan dikenakan kepada mereka yang meletakkan kenderaan untuk berehat di laluan kecemasan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...