Ahad, 1 November 2015

PPS cegah keganasan pelajar


KUALA NERUS - Polis Terengganu melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) akan mempergiatkan lagi program dalam usaha untuk mencegah keganasan melibatkan pelajar, termasuk kes buli.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, pendekatan secara proaktif itu diambil bagi memberi lebih kesedaran undang-undang kepada pelajar supaya mereka tidak terjebak dengan aktiviti yang boleh merosakkan masa depan.

“Tidak dinafikan mereka (pelajar) naif mengenai undang-undang dan sebab itu kita ambil pendekatan dengan melantik PPS ini, di mana setiap dua kali sebulan pegawai (PPS) ini akan melawat sekolah berkenaan bagi kenal pasti masalah yang berlaku.


“Walaupun kes melibatkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar di negeri ini masih lagi terkawal, namun pencegahan awal perlu diambil bagi mengelak mereka terjebak dengan kes jenayah berat yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Dialog Bersama Kor-Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor-Suksis) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Auditorium Pusat Pembelajaran Digital Sultanah Nur Zahirah (PPDSNZ) UMT, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UMT, Prof Annuar Hassan dan pegawai tertinggi lain.

Menurut Rosli, pihak berkuasa pandang serius pelbagai rakaman video melibatkan kes buli dan pergaduhan yang sering menjadi viral sejak kebelakangan ini.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk kes buli dan juga pergaduhan. Jika punyai bukti kukuh, mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosli turut berbangga dengan pencapaian ditunjukkan Ko-Suksis UMT apabila 58 penuntut universiti berkenaan berjaya dalam temuduga untuk jawatan pegawai polis dalam pengambilan baharu.


“Kejayaan itu turut meletakkan UMT sebagai institut pengajian tinggi awam (IPTA) ketiga tertinggi di seluruh negara, yang berjaya melepasi temuduga jawatan inspektor,” katanya.

Sumber: KLIK SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...