Khamis, 17 Disember 2015

10 Warga Asing Ditahan Kerana Tipu Jutawan Arab Saudi Rm1.8 Juta

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Polis berjaya menahan sembilan warga Nigeria dan seorang Filipina selepas dipercayai memintas e-mel syarikat menjual kren di Korea Selatan sehingga menyebabkan seorang jutawan Arab Saudi mengalami kerugian RM1.8 juta apabila memasukkan wang itu ke dalam akaun mereka.

Kesemua suspek ditahan di Sentul dan Cyberjaya semalam.

Dalam kejadian 9 Dis lepas, ahli perniagaan yang memiliki syarikat menjual jentera berat di Riyadh itu mahu membeli kren daripada syarikat berkenaan namun ditipu sindiket terbabit.


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata mangsa diminta membuat beberapa transaksi untuk membeli kren berkenaan melalui tiga akaun bank yang dimiliki oleh dua syarikat yang didaftarkan di negara ini.

"Suspek disyaki menyamar sebagai jurujual kren itu dengan cara memintas e-mel yang dihantar kepada syarikat berkenaan sebelum meminta ahli perniagaan itu melakukan pembayaran sebanyak RM1.8 juta melalui beberapa transaksi bagi jentera yang dipesan.

"Mangsa telah berurus niaga dengan syarikat menjual kren berkenaan sejak lima tahun lalu bagaimanapun tidak pernah menghadapi sebarang masalah sebelum ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas syarikat yang menjual kren di Korea menghubunginya untuk meminta bayaran.

Susulan laporan itu, polis menahan seorang wanita warga Nigeria berusia 29 tahun yang merupakan pemilik akaun bank yang menjadi 'orang tengah' kepada sindiket itu.

"Suspek wanita itu ditahan di hadapan sebuah bank di Sentul selepas menyerahkan wang berjumlah RM1,000 kepada seorang wanita tempatan yang dipercayai membantu suspek untuk membuka tiga akaun bank bagi tujuan pemindahan transaksi wang tunai kelmarin," katanya.

Mohamad Roy berkata susulan penahanan itu, pihaknya menyerbu dua lokasi berasingan yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan berkenaan di Kondominium Sri Putramas di sini dan Cyberjaya.

Katanya, hasil serbuan di Sri Putramas, polis menahan seorang wanita warga Filipina manakala enam lelaki dan dua wanita warga Nigeria ditahan di Cyberjaya.

Selain itu, polis turut merampas wang tunai bernilai RM1,000, 12 buah komputer riba, 19 buah telefon bimbit pelbagai jenis, enam keping kad kredit, sebuah buku bank termasuk modem internet.

"Kesemua suspek direman sehingga Jumaat ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...