Sabtu, 19 Disember 2015

Individu Halang Polis Pengiring VVIP Boleh Dikenakan Tindakan

PUTRAJAYA, 19 Disember: Pihak yang ingkar kepada arahan polis pengiring bagi orang kenamaan utama (VVIP), termasuk enggan memberi laluan, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu boleh dikenakan tindakan, kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain berdepan hukuman mengikut Akta Polis 1967.

“Ada perbincangan (pihak tertentu) yang mengajak orang ramai supaya tidak mengikut arahan polis semasa iring orang kenamaan.


“Saya nasihatkan pengguna jalan raya supaya patuhi arahan polis yang bertugas, ada sebab kenapa mereka iringi VVIP itu…yang utama adalah sebab keselamatan,” katanya selepas menerima Ijazah Doktor Kehormat dalam Kepimpinan daripada Universiti Limkokwing, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pengguna jalan raya tidak memberi laluan kepada polis pengiring, ketika mengiringi seorang VVIP, baru-baru ini yang tersebar di media sosial.

Sehubungan itu, Khalid meminta beberapa portal berita yang memainkan isu polis pengiring, supaya berhenti berbuat demikian dan menyifatkannya sebagai tindakan mengajak rakyat mengingkari undang-undang.

“Saya minta anda hentikan perkara ini…tiada baiknya, anda mengajak rakyat supaya ingkar undang-undang,” katanya.

Mengulas catatan Twitter beliau pada Jumaat lalu, berhubung rampasan empat pucuk pistol di Kajang oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFFOC) Bukit Aman, Khalid berkata, pihaknya mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan kes tembak seorang bapa dan anak di Semenyih, bulan lalu.

Menurutnya, polis giat menjalankan siasatan dan yakin lebih ramai suspek akan ditahan.

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun meninggal dunia, manakala bapanya cedera parah, akibat ditembak di Jalan Besar, Semenyih, pada malam 24 November lalu.

“Saya minta masyarakat terus beri kerjasama dengan kita, dengan menyalurkan maklumat. Kita akan pastikan tindakan diambil ke atas mereka (suspek) ini,” tegas Khalid.

Mengenai tunjuk perasaan yang dibuat seorang veteran tentera, Ali Tinju di hadapan bangunan Kota Raya, Jumaat lalu, Khalid berkata, lelaki itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, jika didapati melanggar undang-undang.

Ali Tinju atau nama sebenarnya, Mohd Ali Baharom dilaporkan membuat kenyataan menyentuh sentimen perkauman, semasa mengadakan tunjuk perasaan itu.
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, pihaknya tidak boleh dipersalahkan dalam isu Ali Tinju, hanya kerana keputusan membebaskannya daripada tuduhan menghasut pada 17 September lalu.


“Tidak adil untuk tuduh (pihak kami) bertanggungjawab. Saya dah jelaskan, rakaman video mengenai tuduhan menghasut Ali Tinju tidak cukup, kalau cukup saya akan dakwa,” katanya ketika ditemui dalam majlis sama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...