Selasa, 8 Disember 2015

Padah Cuba Curi Set Generator, Lelaki Maut Selepas Ditikam Pemilik

KEMAMAN, 7 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki berumur 37 tahun, yang menceroboh sebuah rumah untuk mencuri sebuah generator mudah alih, maut selepas ditikam pemiliknya dalam kejadian di Kampung Labohan di sini pagi tadi.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata sebelum kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.50 pagi tadi, isteri pemilik rumah berkenaan mencurigai gelagat dua suspek yang tiba-tiba menghala ke rumahnya selepas makan di kedai miliknya yang terletak kira-kira 30 meter dari kediamannya itu.


"Melihat perkara itu, isteri peniaga berkenaan terus memberitahu suaminya yang ketika itu berada di dapur kedai sebelum bergegas balik dan menyergah kedua-dua suspek yang ketika itu cuba mencuri generator miliknya," katanya kepada sidang media di lokasi kejadian di sini Isnin.

Katanya, namun salah seorang daripada mereka telah bertindak menyerang pemilik rumah berusia 50 tahun itu dengan menggunakan batang besi dan terjadinya pergelutan.

"Pemilik kedai makan itu kemudiannya mencapai parang yang berada berdekatan dengannya bagi mempertahankan diri dan cuba menikam kedua-dua suspek sebelum tikaman tersebut mengenai dada salah seorang suspek," katanya.

Berikutan itu, kedua-dua suspek berkenaan melarikan diri yang mana salah seorang daripada mereka yang cedera itu rebah di atas pembahagi jalan tidak jauh dari tempat kejadian.

Suspek yang berasal dari Felda Kerteh 6, Bandar Ketengah Jaya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya berjaya melarikan diri.

Justeru pihaknya turut menahan peniaga itu untuk siasatan lanjut dan gerakan memburu rakan suspek juga giat dijalankan.

Rosli berkata pemilik kedai berkenaan ditahan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh, bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

"Kita turut merampas parang yang digunakan untuk siasatan lanjut sama ada tindakannya untuk mempertahankan diri atau sebaliknya," katanya.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...