Isnin, 7 Disember 2015

Polis Siasat Dakwaan Penganjur Skuasy Wanita Dunia

 
KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penganjur Kejohanan Skuasy Wanita Dunia, Kumpulan Hallmarks Events yang mendakwa kejohanan yang akan diadakan di sini pada 11-18 Disember, ditangguhkan kerana kebimbangan terhadap keselamatan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon, berkata pihaknya sudah berjumpa dengan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) berhubung kenyataan Kumpulan Hallmark Events.

Polis memandang serius dakwaan berkenaan kerana penganjur kejohanan itu mengeluarkan kenyataan mengenai isu keselamatan tanpa merujuk kepada pihak polis.


"Tiba-tiba mereka (Kumpulan Hallmark Events) keluarkan kenyataan sebegitu tanpa rujuk kepada kita sama ada keselamatan atau ketenteraman awam ini boleh menjejaskan keselamatan pemain-pemain skuasy...bagi saya itu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Bagaimanapun, kita akan menyiasat dari mana mereka dapat maklumat itu dan mengapa keluarkan kenyataan sebegitu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, Isnin.

Menurut laporan, Persatuan Skuasy Profesional (PSA) mengesahkan bahawa Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2015 berdepan dengan ketidakpastian selepas menerima e-mel daripada Kumpulan Hallmark Events yang mencadangkan penangguhan atas alasan keselamatan.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam entri laman Facebook, mengarahkan Kementerian Belia dan Sukan dan polis untuk mendapatkan penjelasan dari penganjur berhubung ancaman keselamatan itu.


Kumpulan Hallmark Events adalah syarikat pengurusan acara antarabangsa untuk Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2014, 2015 dan 2016.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...