Rabu, 30 Disember 2015

TERPAHAT SEJARAH IPD MARANG, TERENGGANU

Marang, 27 Disember 2015:

Usaha PDRM ke arah mencapai standard ‘World Class Policing’ atau Kepolisan Bertaraf Dunia pada hari ini telah membentuk transformasi dalam PDRM dari pelbagai sudut, dan yang ketara pada hari ini adalah fungsi sesebuah Pusat Pentadbiran Polis seperti IPD dan Balai Polis.

Jika pada suatu ketika dulu IPD atau Balai Polis bertindak sebagai tempat membuat Laporan Polis dan tempat mendapatkan nasihat mengenai perundangan dan siasatan semata-mata, namun pada hari ini ia turut menjadi pusat perkongsian serta penyaluran maklumat, serta pusat kolaborasi di antara PDRM dan masyarakat, khususnya dalam konteks keselamatan dan pencegahan jenayah.


Berucap sempena Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, Terengganu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Dato’ Haji Jamshah bin Mustapa turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Terengganu kerana telah menyediakan kemudahan dan logistik pembangunan bagi melancarkan lagi pelaksanaan tugas kepolisan khususnya di Negeri Terengganu ini demi memastikan tahap keselamatan dan keharmonian tetap terpelihara.

Menjawab kepada isu tahap disiplin para pegawai PDRM, Dato’ Haji Jamshah menekankan bahawa PDRM tidak akan sekali-kali berkompromi dengan mana-mana pegawainya yang terlibat dengan salah laku terutamanya jenayah.

“Semenjak JIPS PDRM ditubuhkan pada Julai tahun lalu, satu unit iaitu Unit Aduan telah ditubuhkan di bawah JIPS yang akan memantau serta menerima apa juga aduan orang ramai tentang pelaksanaan tugas PDRM termasuk melibatkan salah laku. Dengan adanya Unit Aduan ini, kita berharap para pegawai kita akan berkhidmat dengan lebih berintegriti, seterusnya meningkatkan lagi imej PDRM melalui perkhidmatan yang terbaik,” tambah beliau lagi.

IPD Marang yang mula dibina pada tahun 2003 dan telah siap serta beroperasi sepenuhnya bermula pada April 2007. Turut hadir dalam Majlis Perasmian yang diadakan seawal jam 9.00 pagi ini adalah YB A.Latiff bin Awang, ADUN Pengkalan Berangan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, YDH Dato’ Rosli bin Ab Rahman, Ketua Polis Terengganu, dan YBhg Tuan Haji Mohd Zulkifli bin Abu Bakar, Pegawai Daerah Marang.

Acara perasmian diserikan lagi dengan gimik perasmian dan juga persembahan T-Baton serta demonstrasi tangkapan kes ragut oleh Pasukan Pegawai Polis Kontinjen Terengganu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...