Khamis, 18 Februari 2016

Pensyarah Kolej Disamun, Honda Accord Dilarikan

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Seorang pensyarah kolej terpaksa berputih mata apabila kereta Honda Accord miliknya dilarikan dua lelaki yang tidak dikenali, di Batu Caves, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata ketika kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia 59 tahun berada di hadapan rumahnya.

Beliau berkata salah seorang suspek bertindak meletakkan pisau di leher mangsa dan mengarahkannya memandu kereta itu menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum berhenti di sebuah stesen minyak.


Ketika tiba di stesen minyak berkenaan suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan wang tunai melalui mesin ATM sebanyak RM2,000, katanya.

"Mangsa kemudian dipaksa untuk terus memandu dan diarah berhenti di sebuah kawasan semak sebelum salah seorang suspek membawa mangsa keluar daripada kereta dan mengarahkannya membuka baju, stokin dan kasut.

"Mangsa berjaya melarikan diri daripada suspek walaupun dikejar sebelum suspek melarikan kenderaan itu.

"Mangsa kemudiannya menghubungi anaknya yang membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...