Rabu, 17 Februari 2016

Polis tahan suami pukul isteri di tepi jalan

BATU PAHAT: Polis menahan seorang lelaki yang memukul isterinya menggunakan kasut di tepi jalan berhampiran pintu masuk Plaza Tol Ayer Hitam, di kediamannya di Taman Sri Kluang, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, suspek ditahan hasil maklumat orang awam yang tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini, yang mengecam kenderaan suspek dan menyaksikan insiden berkenaan.


"Pasangan berkenaan bersama anak perempuan mereka berusia 17 tahun dalam perjalanan dari Kluang ke Johor Bahru sebelum berlaku salah faham dan suspek kemudian memberhentikan kereta dipandunya berhampiran Plaza Tol Ayer Hitam. 

"Suspek mengaku memukul isterinya berusia 39 tahun menggunakan kasut ketika pertengkaran berlarutan di tepi jalan kerana mendakwa tertekan dengan isterinya yang suka membebel akibat masalah kewangan mereka. 

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan, namun dia mempunyai masalah penyakit jiwa dan pernah menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang," katanya di sini, hari ini.

Din berkata, polis turut merampas sepasang kasut hitam milik suspek untuk siasatan lanjut, manakala ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia negatif dadah.

Katanya, keterangan isteri dan anak perempuan suspek turut direkodkan polis ketika suspek ditahan malam tadi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18 A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kerana mencederakan isterinya dengan niat," katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 4.30 petang Jumaat lalu, tindakan suspek memukul isterinya di tepi jalan di pintu masuk plaza tol berkenaan dirakam orang awam sebelum rakamannya tersebar di media sosial.

Dalam video berdurasi satu minit itu, suspek berkenaan turut memukul anak perempuannya itu sambil wanita terbabit memeluk erat ibunya bagi melindunginya daripada dipukul. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...