Isnin, 15 Februari 2016

Warga Nigeria Semakin Mengganas Di Malaysia ?

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Lima warga Nigeria ditahan dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Prima, Puchong hari ini, dipercayai kerana terbabit dalam satu kes samun malam tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razimi Ahmad berkata lapan suspek warga Nigeria telah melakukan samun menggunakan sebilah pedang di hadapan sebuah restoran di Bandar Puteri, Puchong pukul 11.30 malam tadi.


"Pengadu yang juga warga Nigeria berusia 30-an, mengalami kerugian wang tunai berjumlah RM8,000 serta barang kemas termasuk seutas rantai leher dan jam tangan bernilai RM8,000," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Bertindak atas maklumat, Razimi berkata pihaknya telah membuat serbuan di sebuah unit pangsapuri itu petang tadi.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan lima suspek yang berusia antara 24 tahun hingga 34 tahun itu dan kesemuanya akan ditahan reman esok untuk membantu siasatan.

"Semasa polis mengetuk pintu depan, salah seorang suspek telah cuba melarikan diri melalui balkoni di tingkat empat dan cuba untuk terjun.

"Namun suspek berjaya ditangkap di bawah pangsapuri. Suspek patah di pergelangan kaki kiri dan telah dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan," katanya.


Razimi berkata pihak polis berusaha untuk mengesan tiga lagi suspek yang terlibat dalam kes itu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan, katanya.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...