Khamis, 17 Mac 2016

Warga Emas Ditemui Mati Ditikam


KAMPAR: Seorang lelaki warga emas ditemui mati di tepi jalan raya berhampiran rumah pangsa di Jalan Hospital di sini, pada Rabu akibat ditikam.

Mangsa Loo Chee Man, 61, ditemui dalam keadaan tertiarap dan terdapat enam kesan tikaman di badannya oleh orang awam kira-kira pukul 6 petang.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata mangsa dipercayai ditikam oleh seorang lelaki selepas berlaku pertengkaran.

"Mangsa cuba melarikan diri tetapi rebah di kawasan tempat letak kereta kira-kira 15 meter dari kawasan tangga manakala suspek melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat.

Ng berkata motif pembunuhan dipercayai berkaitan dengan hutang kerana keluarga mangsa memaklumkan bahawa suspek dipercayai berhutang dengan mangsa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...