Khamis, 21 April 2016

Pegawai KBS didakwa ubah wang haram RM16.62 juta

KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan 64 aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM17 juta tiga tahun lalu.
Bagaimanapun Otman, 57, yang menerima wang menerusi aktiviti pengubahan wang haram daripada empat buah syarikat mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Allaudeen Ismail selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di mahkamah tersebut.

Tertuduh didakwa menerima wang tersebut yang dimasukkan ke dalam akaunnya di tiga bank berasingan iaitu CIMB, Maybank dan RHB di sekitar Putrajaya, Selayang, Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Perak di sini yang kesemuanya berjumlah RM16.62 juta antara 11 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015.
Otman yang didakwa melakukan 38 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 (Akta 613) memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan.
Dia yang kelihatan tenang di mahkamah didakwa melakukan 26 tuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Bagi setiap pertuduhan itu, Otman boleh dihukum maksimum penjara 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta jika sabit kesalahan. - K! ONLINE
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...