Sabtu, 9 April 2016

Polis Siasat Dakwaan Aanggota Peras Ugut RM100,000

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki bahawa pekerjanya diperas ugut sepasukan polis sebanyak RM100,000 kerana disyaki menyimpan rokok seludup, di Pantai Dalam, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung laporan yang dibuat oleh pengadu berkenaan.

"Kita masih menyiasat kesahihan laporan berkenaan sama ada benar kes itu berlaku kerana ketika pemeriksaan dibuat pengadu tiada di tempat kejadian sebaliknya hanya menerima aduan daripada pekerjanya.

"Bagaimanapun pihak kami memandang serius kes berkenaan dan sedang menjalankan siasatan secara telus dan adil," katanya ketika dihubungi BH hari ini.


Pengadu berusia 48 tahun itu menyatakan sepasukan polis diketuai seorang pegawai berpangkat Inspektor dari Bahagian Risikan Jenayah (D4) datang ke sebuah kediaman di Kampung Masjid, Pantai Dalam, dan melakukan pemeriksaan.


Semasa pemeriksaan itu, pihak polis menemui sejumlah rokok dipercayai diseludup dalam kediaman berkenaan sebelum dikatakan cuba memeras ugut pekerja pengadu sekiranya mahu kes berkenaan tidak diambil tindakan. 

Amar Singh berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan namun kes berkenaan sedang diteliti. "Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan atas kesalahan memeras ugut," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...