PETALING JAYA: Kumpulan
militan Abu Sayyaf mendedahkan video seorang mangsa culik warga Kanada, John Ridsdell yang kepalanya dipenggal oleh ahli
kumpulan tersebut.
Video berdurasi 52 saat itu memaparkan
empat anggota kumpulan tersebut dan Ridsdell berada di dalam hutan.
Tiga ahli kumpulan tersebut dilihat
memakai topeng muka manakala individu yang memenggal kepala Ridsdell tampil
mendedahkan wajahnya.
Dua daripada mereka memegang mesingan.
Mereka bercakap dalam bahasa Tagalog
sebelum memaksa Ridsdell melutut di atas tanah.
Salah seorang anggota militan itu
kemudiannya memenggal kepala Ridsdell menggunakan parang.
Ridsdell, 68, bekas eksekutif
perlombongan, dipenggal kepalanya pada Isnin oleh kumpulan Abu Sayyaf yang
menculiknya bersama dengan tiga tebusan yang lain pada 2015 ketika mereka
sedang bercuti di sebuah pulau di Filipina.
Pada minggu lalu, jurucakap tentera
Filipina, Mejar Filemon Tan berkata satu mayat tanpa kepala ditemui di atas
anak sungai yang telah kering dekat hutan Ridsdell dipercayai dipenggal.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau
mengkritik perbuatan tersebut yang disifatkan sebagai pembunuhan kejam.
Kumpulan Abu Sayyaf dipercayai menahan
beberapa lagi tebusan lain.
Pada November tahun lalu, kepala warga
Sarawak Bernanrd Then turut dipenggal kumpulan tersebut.