Isnin, 30 Mei 2016

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan PDRM 1437H/2016M

Kuala Terengganu, 30 Mei – “Terengganu tuan rumah pertama Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan PDRM selepas Bukit Aman”. Demikian kata YDH DIG Dato’ Sri Noor Rashid bin Ibrahim, Timbalan Ketua Polis Negara semasa Sidang Akhbar sempena Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Polis Diraja Malaysia 1437H/2016M.

Beliau menyatakan lebih lanjut, jika selama ini majlis yang dianjurkan pada setiap tahun itu dikendalikan diperingkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada tahun ini ia pertama kali diadakan di luar Bukit Aman, dan Terengganu telah dipilih menjadi tuan rumah, kerana mengambil kira Pantai Timur terkenal dalam menghasilkan Qari dan Qariah yang terbaik.

Dalam Majlis Tilawah pada kali ini, seramai 22 orang peserta terdiri daripada Pegawai Kanan, Pegawai Rendah dan Pegawai Awam Polis telah menyertai tilawah ini dari pelbagai formasi polis, temasuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.


Bagi Kategori Qari, Johan dimenangi oleh Encik Nordin Putit (Kontinjen Sarawak), Naib Johan disandang oleh ASP Mohd Shahran (Selangor) manakala tempat ketiga disandang oleh Koperal Razli bin Asmat (Bukit Aman).

Bagi kategori Qariah pula, Johan dimenangi oleh Puan Suraini binti abdul Jalil (Pulau Pinang), Naib Johan dimenangi oleh L/Kpl Normarina binti Ishak (Kuala Lumpur), manakala tempat tempat ketiga dimenangi oleh Sarjan Mejar Sa-adiah binti Md Dewi (Bukit Aman).

Johan tilawah Al-Quran pada kali ini membawa pulang sebuah Piala Pusingan, sebuah Piala Iringan, Wang Tunai RM2000, Sijil dan juga hamper, Naib Johan menerima Hadiah Wang Tunai RM1500, Sijil dan hamper, manakala Tempat Ketiga membawa pulang Hadiah Wang Tunai RM1000, sijil dan juga hamper.

Turut hadir di dalam Majlis Perasmian Penutup yang diadakan di Dewan Besar Wisma Darul Iman ini adalah YDH CP Dato’ Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselematan Komuniti (JPJKK) PDRM, YDH CP Dato’ Sri Sharifuddin bin Abd Ghani, Ketua Polis Pahang, YDH DCP Dato’ Asri bin Yusoff.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, YDH DCP Dato’ Rosli bin Ab Rahman, Ketua Polis Terengganu, YDH DCP Dato’ Dr Abdul Rahman bin haji Ismail, Timbalan Pengerah Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, dan YDH SAC Dato’ Hashim bin Abd Jalil, Timbalan Ketua Polis Terengganu serta lebih kurang 5,000 orang hadirin.

Menjawab kepada soalan media, YDH Dato’ Sri Noor Rashid menyatakan untuk penganjuran majlis ini pada tahun hadapan dan masa yang akan datang, giliran setiap Kontinjen untuk menjadi tuan rumah akan dibuat, dan tertakluk kepada keputusan mesyuarat yang akan diadakan di peringkat Bukit Aman.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...