Selasa, 21 Jun 2016

BENGKEL KEMENTERIAN PENDIDIKAN, PDRM BINCANG KEHADIRAN POLIS DI SEKOLAH

Putrajaya, 20 Jun - Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan bengkel dalam waktu terdekat bagi memperincikan 'omnipresence' iaitu kehadiran pihak polis di sekolah bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan mampu mengawal kadar jenayah.

Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon berkata bengkel itu akan turut membincangkan bagaimana untuk melihat semula peranan pegawai perhubungan sekolah (PPS) untuk membantu menangani masalah disiplin di sekolah.

"Kalau boleh wujudkan memorandum persefahaman selepas bengkel kita akan lihat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan dan PDRM Dalam Memperkasakan Peranan PPS di kementeriannya di sini hari ini.


Kata Chong, pelantikan PPS merupakan kerjasama yang sedia terjalin di antara Kementerian Pendidikan dan PDRM yang mana setiap sekolah mempunyai seorang pegawai polis yang menjaga sekolah rendah dan sekolah menengah.

Katanya Kementerian Pendidikan mahu lebih ramai PPS kerana ia boleh beri mesej kepada pelajar sekolah bahawa bukan sahaja guru disiplin yang mengawal mereka tetapi pihak polis.

Chong berkata walaupun sudah wujud sistem PPS namun masih belum ada satu panduan yang komprehensif dilakukan oleh pihak sekolah bersama PDRM contohnya dalam menangani gejala dadah di sekolah.

Selain masalah dadah di sekolah, mesyuarat hari ini turut membincangkan mengenai masalah buli yang mana satu prosedur operasi standard diperlukan terutamanya apabila kes buli itu berlaku di luar sekolah, katanya.

"Pihak sekolah perlu tahu pelajar yang libatkan diri dalam kes-kes jenayah di luar sekolah supaya tindakan intervensi terutamanya dari segi kaunseling boleh dilaksanakan pihak sekolah," katanya sambil menegaskan kepentingan tindakan intervensi supaya pelajar berkenaan tidak dibuang sekolah dan akhirnya menjadi masalah kepada masyarakat.

Mesyuarat hari ini turut membincangkan kes buli siber di WhatsApp, Facebook dan YouTube dan terdapat cadangan supaya satu modul yang boleh membantu pelajar memahami undang-undang sedia ada khususnya dari segi Akta Komunikasi dan Multimedia diwujudkan, katanya.

Chong berkata pelajar perlu tahu bahawa mereka yang disabitkan kesalahan di bawah akta berkenaan boleh dihukum dan didenda.

"Maklumat perlu diberikan kepada anak-anak supaya mereka tidak lakukan buli di siber kerana kesannya dari segi psikologi adalah sama dengan buli secara fizikal," katanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...