Khamis, 2 Jun 2016

Sarjan tak mengaku salah minta, terima rasuah

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Yuslan Md Yusof, 33, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput membuat pengakuan itu di hadapan Hakim S Indra Nehru selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.


Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin. Bagi pertuduhan pertama, Yuslan didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat SPRM Perak melalui panggilan telefon kepada Mohd Zamhuri Mohd Alit @ Mat Ali dengan meminta suapan berjumlah RM1,000 untuk dirinya daripada Mohd Zamhuri, kira-kira jam 8 malam, 2 Mei 2014.

Ia sebagai dorongan bagi melepas anak Mohd Zamhuri, Mohammad Aliff daripada dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1968. Dia didakwa mengikut Seksyen 16a (B) Akta SPRM 2009 yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Yuslan didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM1,000 di Restoran Naina Mohamed, Chemor, kira-kira jam 4.30 petang, pada 6 Mei 2015, sebagai dorongan untuk melepaskan Mohammad Aliff daripada dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1968.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) akta sama yang turut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.


Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...