Sabtu, 8 Oktober 2016

DALANG MEMBOCORKAN MAKLUMAT DIKENALPASTI

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya sedang mengenal pasti anggota keselamatan yang mungkin menjadi dalang membocorkan maklumat berhubung operasi pasukan keselamatan di kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Katanya, sehubungan itu, satu operasi khas telah dijalankan di kawasan perairan itu sejak semalam dan berjaya menahan lebih 10 orang terdiri daripada penduduk tempatan dan pendatang dari Selatan Filipina.

"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan terhadap pasukan keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas dan Pemakaian Pangkat di Bukit Aman di sini, hari ini.


Beliau berkata operasi itu masih diteruskan dan mereka yang ditahan akan disiasat di bawah undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.

"Saya tidak menafikan (kemungkinan) pembabitan anggota keselamatan dalam insiden ini (di kawasan Esscom)," katanya.    

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau percaya maklumat berhubung operasi pasukan keselamatan di perairan Sabah dibocorkan melalui 'orang dalam', yang menyebabkan pasukan keselamatan sukar mengawal perairan yang luas sehingga berlaku kes kes penculikan khususnya di Esscom.    

Sementara itu, mengenai dokumen yang diserahkan oleh Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos kepada polis Selasa lalu berkenaan dakwaan Bersih 5.0 diresapi unsur Daesh, Khalid berkata, pihaknya sedang meneliti dokumen berkenaan.

"Jika ada sebarang perlakuan yang melanggar undang-undang, kita akan ambil tindakan. (Pemimpin DAP) Lim Kit Siang mempersoalkan kenapa IGP (Ketua Polis Negara) tidak keluarkan kenyataan dalam hal ini...beliau ingat saya tiada kerja lain ke? Apa-apa berkaitan kes tanya pada pegawai penyiasat, saya tidak perlu buat kenyataan," katanya.

Khalid turut mengingatkan kumpulan baju merah (diketuai Jamal) dan baju kuning (penyokong Bersih) supaya memberi notis seperti yang diperlukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 jika mahu mengadakan sebarang perhimpunan.

"Kedua-dua pihak itu melanggar undang-undang...adakah mereka memberi notis sebelum menjalankan aktiviti mereka? Kemudian nak perlindungan polis pula.  Sebelum buat perhimpunan bagi notis dan patuhi Akta Perhimpunan Aman 2012. Kedua-dua pihak akan disiasat bukan satu pihak sahaja," katanya merujuk kepada kekecohan yang sering berlaku melibatkan kumpulan baju merah dan kuning.

Dalam perkembangan lain, Khalid menegaskan pihaknya telah memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati kerap membuat laporan polis bermotifkan politik.

"Kita nampak trend sesetengah pihak yang sering membuat laporan polis jadi kita telah membuat keputusan kalau ada pihak sengaja menggunakan polis untuk kepentingan politik masing-masing boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu," katanya. - Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...