Selasa, 20 Jun 2017

Aset Jutaan Baht Milik 'Iceman' Disita

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand telah menyita pelbagai aset bernilai berjuta-juta Baht milik rakyat Malaysia digelar "Mr T" atau the "Malaysian Iceman" yang menjadi dalang utama bagi sindiket dadah antarabangsa.

Menurut satu sumber, pihak berkuasa bukan sahaja bertindak menyita aset-aset milik "Mr T'" tetapi juga merampas aset atas nama isterinya warga Thai dan anak lelakinya.

"Aset-aset yang dikuasai oleh Mr T,  isteri dan anak lelakinya) bernilai berjuta-juta Baht  dengan kebanyakan aset terletak di Hatyai dan wilayah lain di selatan Thailand," kata beliau kepada Bernama baru-baru ini mengena lelaki rakyat Malaysia yang dikehendaki oleh pihak berkuasa penguatkuasaan dadah Thailand sebelum dia ditangkap baru-baru ini.

Pihak berkuasa Thailand mengesyaki "Mr T" bertindak sebagai orang tengah utama bagi kegiatan haram itu dan mendalangi penyeludupan ratusan kilogram dadah ke Malaysia untuk disekport semula ke negara-negara lain kemudian.


Lelaki yang berasal dari Johor itu ditahan di Lapangan Terbang Hatyai April lepas susulan pemantauan ketat dilakukan selepas lawatan ke utara Thailand, yang pihak berkuasa percaya ialah untuk berunding mengenai  satu lagi konsainan dadah bagi sindiket antarabangsa.

Pihak berkuaasa Thailand berkata, dua lelaki  rakyat Malaysia yang ditahan di Sadao pada Mac tahun  lepas bersama 282 kg "Ice" memberitahu mereka semasa soal siasat bahawa dadah yang mereka bawa milik "Mr T".

Kedua-dua keldai dadah rakyat Malaysia itu juga mendakwa bahawa "Mr T" mendalangi beberapa percubaan lain bagi penyeludupan dadah ke Malaysia, masing-masing dalam konsaimen lebih 100 kg.

Sementara itu, menurut satu sumber, aset-aset yang disita atas nama "Mr T'" termasuk wang tunai dalam pelbagai mata wang meliputi Baht Thai, Ringgit Malaysia, Dolar Hong Kong, Won Korea, Rupiah Indonesia, Swiss Franc dan AS Dolar.

Pihak berkuasa juga merampas beberapa akaun bank tempatan yang dipegang oleh lelaki rakyat Malaysia itu, yang sekarang direman di penjara di sementara pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai jenayah didakwa dilakukannya.

Di bawah undang-undang Thailand, seseorang suspek boleh ditahan reman sehingga maksimum 84 hari.

Menurut sumber itu, antara aset atas nama "Mr T'", isteri dan anaknya yang disita termasuk kereta dan motosikal, deposit dalam bank-bank tempatan, bon loteri, unit kondominium, lot tanah dan surat hak milik.

Beliau tidak memberitahu dengan tepat jumlah aset yang disita daripada lelaki rakyat malaysia itu, isteri dan anaknya kerana siasatan masih dijalankan.

Sumber itu berkata, "Mr T" menafikan semua dakwaan terhadapnya semasa siasatan tetapi pihak berkuasa yakin mengenai kes mereka terhadapnya kerana suspek telah lama berada di bawah pengawasan mereka.

Siasatan mengenai "Mr T masih dijalankan dan lebih ramai suspek dijangka ditahan. - Bernama


Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...